Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 10 Feb (Malaysiaaktif) – Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini dalam tempoh 24 jam lepas menunjukkan penurunan apabila sebanyak 2,764 kes dilaporkan, berbanding 3,100 kes kelmarin.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah tersebut, enam adalah kes import melibatkan tiga warganegara dan tiga warga asing manakala sebanyak 2,758 kes adalah penularan tempatan.
Susulan kes baharu tersebut, katanya, jumlah kes positif di negara ini adalah kini sebanyak 248,316 kes.
Bagaimanapun, sebanyak 13 kes kematian turut dilaporkan dalam tempoh sama, menjadikan jumlah kes kematian COVID-19 di negara ini direkodkan sebanyak 909 kes.
Menurutnya, kes aktif dengan kebolehjangkitan kini sebanyak 50,841 kes.
“Terdapat 3,887 kes sembuh hari dan jumlah kumulatif kes sembuh daripada COVID-19 di Malaysia adalah 196,566 kes,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan, di sini semalam.
Beliau berkata sebanyak 289 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 127 kes memerlukan bantuan pernafasan,
Dr Noor Hisham berkata Selangor kekal mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 862 kes diikuti Johor (521), Kuala Lumpur (422); Melaka (203); Pulau Pinang (119) dan Sarawak dengan 111 kes.
Negeri Sembilan pula mencatat 99 kes diikuti Kelantan (62), Kedah (59), Perak (40), Terengganu (34), Pahang (32) manakala Labuan serta Putrajaya masing-masing merekodkan 10 kes manakala tiada kes dilaporkan di Perlis.
Bagi 13 kes kematian, ia melibatkan warganegara dalam usia lingkungan 49 hingga 80 tahun iaitu enam kes di Selangor; masing-masing dua kes di Sabah, Sarawak, dan Johor serta satu kes di Kuala Lumpur.
— BERNAMA