Laporan/foto: Haliza Mohd Taib/Roslinda Rosly (Muar)
MUAR, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Nur Zaharah Mohd Sali Mohd Ali, menyedari ancaman aedes dan demam denggi boleh membawa maut, pertubuhan ini dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), SWM Enviroment dan komuniti setempat mengadakan program gotong royong bagi membersihkan kawasan persekitaran dan memusnahkan tempat pembiakan serangga itu yang boleh mengancam nyawa manusia.
“Kerjasama pelbagai agensi dan komuniti dalam melaksanakan aktiviti pencegahan seperti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan aedes di kediaman dan premis secara tidak langsung dapat mengubah trend peningkatan wabak ini.
“Perubahan sikap masyarakat adalah diperlukan supaya mementingkan kebersihan persekitaran, meluangkan masa untuk melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan aedes,” katanya ketika ditemui pada aktiviti gotong-royong di Pertubuhan Kebajikan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Zaharah Parit Jawa, di sini baru-baru ini.
Tambah beliau, bagi menyahut seruan kerajaan untuk memerangi aedes, pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti mengumpul sisa-sisa bahan terbuang, memusnahkan tempat pembiakan aedes, membersihkan kawasan longgokan sampah dan persekitaran dalam PDK yang akan dibuka tidak lama lagi.
“Dalam kerisauan kita menghadapi penularan wabak COVID-19, janganlah kita lupa akan bahaya denggi yang mana seperti kita sedia maklum ia juga sangat berbahaya dan turut meragut nyawa, tidak ada ubat serta langkah terbaik hanyalah melalui pencegahan dengan menjaga kebersihan persekitaran,” ujarnya.
-NI-