Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 1 Mac (Malaysiaaktif) – Jambatan Ikonik Tasik Kenyir yang dijangka akan dibuka mulai Mei depan bakal mencipta sejarahnya yang tersendiri sebagai destinasi pelancongan eko yang bakal menjadi tarikan baharu pelancong ke Tasik Kenyir.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Ariffin Deraman, ia akan menjadi mercu tanda pelancongan terkini di Hulu Terengganu dan Negeri Terengganu secara amnya selepas jambatan angkat yang mampu menarik kunjungan pelancong yang lebih ramai ke Hulu Terengganu apabila siap kelak.
“Pembinaan jambatan ikonik yang menelan belanja RM107 juta yang bermotifkan ukiran Terengganu Kepala Bangau yang mana ianya menghubungkan Pulau Poh dan Pengkalan Gawi melibatkan jalan empat lorong dua hala sepanjang 133 meter.
“Pusat Pelancongan ini hampir siap seratus peratus di mana ianya menempatkan Terminal Utama Jeti Penumpang, Jeti Kargo, Pembinaan Kawasan R&R, Tempat Letak Kenderaan, Pembinaan Sistem Perparitan, Keperluan Pengurusan Pengawalan Alam Sekitar (EMP), Kemudahan Sistem Rawatan Kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf 3 bintang bagi memudahkan pelancong yang berkunjung ke Tasik Kenyir,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) kepada wakil pemandu bot dan pengusaha rumah terapung serta malim gunung di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Menurut Ariffin, seramai 230 pemandu bot dan pengusaha houseboat serta 33 malim gunung mendapat bantuan secara sekali beri berjumlah RM300 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan bantuan bernilai RM78,900.
“Bantuan ini akan akan dimasukkan terus ke dalam akaun penerima secara berperingkat yang diumumkan Menteri Besar Terengganu bagi meringankan beban penggiat-penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 melalui skim Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu BERKAT (sektor pelancongan) yang melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM150,200.
“Bantuan ini turut diberi kepada pemandu teksi LTSM, pemandu pelancong bandar dan alam semulajadi, pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu bot laju dan rumah terapung Tasik Kenyir serta malim gunung yang merupakan penggerak utama aktiviti pelancongan Negeri Terengganu,” katanya.
-ii-