Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor)
JOHOR BAHRU, 28 Feb (Malaysiaaktif) -Seramai 100 murid sekolah rendah sekitar kawasan sini telah mengikuti aktiviti gunting rambut secara percuma pada program kembali ke sekolah anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Padi, Sekoi dan Jagong Bandar Baru Uda.
Menurut Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Yahya Jaafar, program ini diadakan bagi meringankan beban ibu bapa menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan.
“Para pelajar sekolah rendah di sekitar kawasan ini berpeluang menerima perkhidmatan gunting rambut secara percuma menerusi program ini.
“Program seumpama ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka tetapi juga dapat merapatkan hubungan silaturahim di antara pemimpin dan masyarakat setempat,” katanya ketika merasmikan Program Back to School di Pusat Tuisyen Cahaya Bandar Baru Uda, di sini semalam.
Beliau turut memaklumkan sebanyak 1,500 buah tablet dan perkhidmatan internet percuma akan diagihkan kepada para pelajar sekolah menengah sekitar daerah Johor Bahru yang tergolong dalam golongan fakir atau orang miskin.
“Bilangan penerima bantuan tersebut akan ditambah pada masa akan datang memandangkan pihaknya bercadang untuk menjadikan program ini sebagai program tahunan,” ujarnya.
Yahya berkata, setiap anak mempunyai hak untuk mendapat pendidikan yang sempurna namun terdapat ibu bapa yang tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah atas faktor kemiskinan.
“Ini merupakan satu kerugian besar apabila anak-anak yang cemerlang ketinggalan dari arus pendidikan sekolah hanya kerana mereka tidak berkemampuan.
“Oleh sebab itu, pihak MBJB mengambil inisiatif melancarkan program Back to School pada beberapa tahun yang lalu bagi membantu para pelajar dari keluarga yang miskin dan berpendapatan rendah,” ujarnya lagi.
-NI-