Laporan/foto: Shaharuddin Daud/Muhammad Afiq Raduan (Kuala Pilah)
KUALA PILAH, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Kuala Pilah bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Kuala Pilah telah menjalankan program ‘Info on Wheels’ (IoW) Proklamasi Darurat 2021 dan pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina 2021 di Pasar Awam dan sebuah pasar raya, kelmarin.
Kerjasama ini bertujuan untuk memberi penerangan kepada masyarakat mengenai Proklamasi Darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ketika ini.
Menurut Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Pilah Ahmad Khuzairi Selamat, kepatuhan para peniaga terhadap SHMMP amat baik, tambahan pula dengan kekerapan hebahan maklumat dan pemantauan yang dilakukan, menjadikan pelaksanaan skim ini di daerah ini berjalan dengan lancar.
“Para pengguna perlu sentiasa peka dengan hak sebagai seorang pengguna dan menggunakan saluran yang disediakan oleh KPDNHEP untuk meyalurkan sebarang aduan atau pemakluman mengenai harga barangan dan sebagainya.
“Kolaborasi antara jabatan sebegini dapat membantu kedua-dua agensi dalam memastikan setiap anggota masyarakat mendapat maklumat yang tepat dan benar mengenai usaha-usaha Kerajaan dalam mengharmonikan negara khususnya hal-hal berkaitan kepenggunaan,” ujarnya ketika mengadakan tinjauan tersebut, di sini.
Sementara itu, Ketua Unit Kawalan Bekalan KPDNHEP, Mohd Affandi Ab Samad, memberitahu bahwa pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu para peniaga dan pengguna dalam mendapatkan maklumat terkini bukan sahaja mengenai harga barangan malahan aspek berkaitan seperti keselamatan barangan pengguna, francais dan penerangan mengenai akta-akta yang berkaitan.
“Masyarakat didedahkan mengenai pelaksanaan SHMMP Tahun Baru Cina 2021 yang bermula dari 8 Februari hingga 16 Februari 2021 yang melibatkan 16 jenis barangan dan harga kawalan terdiri dari kategori ayam, telur ayam, sayuran, hasil laut dan daging babi.
“Selain daripada memberi penjelasan mengenai harga barangan, Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) juga dapat dipromosikan dan ia merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan penghasilan dan penjualan produk keluaran Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam suasana pandemik COVID-19,” ujarnya.
Menurut seorang pengunjung pasaraya, Letchumy Srivanesan, 55, pelaksanaan skim SHMMP dalam pelaksanaan PKP dapat membantu golongan B40 untuk berbelanja dengan berhemah.
“Harga barangan yang dikawal adalah berpatutan dan antara merupakan barangan yang sering digunakan seharian,” katanya.
-AK