Laporan/foto: Masitah Mat Zin (Seremban)
SEREMBAN, 13 Feb (Malaysiaaktif) – Masyarakat hari ini disaran memanfaatkan sektor pertanian yang berpotensi menjana pendapatan lumayan khususnya ketika pasca pandemik COVID-19.
Pegawai Pertanian Daerah Seremban, Alzral Sharif, menyeru agar semua lapisan masyarakat menceburkan diri dalam aktiviti pertanian walaupun dalam skala kecil mengikut kemampuan masing-masing.
“Dalam keadaan norma baharu ini, jangan dibiarkan tanah kosong dan tidak diusahakan tanpa menjana sebarang hasil, penduduk harus bijak mengambil inisiatif dan menggunakan peluang yang ada melalui Jabatan Pertanian untuk meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti bertani, dan pengusahaan industri makanan,” katanya ketika lawatan ke Projek Pertanian di Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Seliau Baru, di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, pengusaha tanaman pokok cili api bara, Baharizan Nordin, 52, mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana telah banyak membantu penduduk kampung khususnya golongan peladang dan penternak melalui program bantuan makanan, tanaman komoditi, perikanan dan industri asas tani.
“Dengan pelbagai bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk bantuan kewangan, tidak ada alasan untuk kita tidak mampu merealisasikan dan menjadikan bidang pertanian satu perniagaan yang sangat menguntungkan.
“Kita harus ingat bahawa peluang pekerjaan pada ketika ini sangat terbatas dan perlu bijak mencari peluang serta jangan malu untuk menjadi petani,” ujarnya.
Selain daripada tanaman pokok cili api bara, penduduk MPKK Kampung Seliau Baru juga mengusahakan tanaman limau kasturi, tebu, kelapa, limau nipis dan perusahaan makanan ringan.
-AK