Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

MAFI Sasar Pengeluaran Akuakultur Sebanyak 958,000 Tan Metrik Menjelang 2030

By 14 Februari 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Foto: Gambar fail

PUTRAJAYA, 14 Feb (Malaysiaaktif) – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyasarkan pengeluaran sektor akuakultur sebanyak 968,000 tan metrik menjelang 2030 dengan nilai RM9.08 bilion.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata bagi merealisasikan sasaran ini, kerajaan menggunakan pendekatan persekitaran mesra perniagaan agar pembangunan sektor akuakultur dapat dipacu termasuk penglibatan sektor swasta.

“Strategi lain termasuk meningkatkan sistem ternakan sedia ada dan menggalakkan pembangunan projek akuakultur baharu dalam skala kecil dan sederhana secara berkelompok,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke kolam ternakan ikan air tawar di Kampung Jejulok, Kota Bharu hari ini.

Che Abdullah berkata sektor akuakultur kini menjadi penyumbang kepada sumber makanan negara di samping menjadi aktiviti pengimbang kepada sektor perikanan tangkapan di laut sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara.

“Berdasarkan kepada statistik pengeluaran pada 2018, pengeluaran sektor akuakultur adalah sebanyak 391,465 metrik tan bernilai RM3.06 bilion manakala bagi 2019 adalah 411,782 tan metrik bernilai RM3.30 bilion.

“Pengeluaran sektor ini mencatatkan peningkatan kuantiti dan nilai dari tahun ke tahun dan daripada jumlah tersebut, Kelantan menyumbangkan sebanyak 6,449 tan metrik pengeluaran pada 2019 dengan nilai RM57 juta yang merangkumi komoditi air tawar, ikan payau dan juga rumpai laut,” katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, bekalan makanan mencukupi untuk memenuhi keperluan rakyat dan harga bekalan adalah terkawal.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda