Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/KTM
SHAH ALAM, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan sebuah tren kargo dengan muatan tergelincir berhampiran Stesen Batu Tiga, di sini semalam.
Susulan kejadian tersebut mengakibatkan kedua-dua landasan berdekatan Stesen Batu Tiga terhalang sepenuhnya.
Ketua Pegawai Eksekekutif KTMB Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata tren yang dalam perjalanan dari Padang Besar, Perlis menuju ke West Port, Klang tergelincir ketika melalui landasan di Kilometer 20.041, dalam kejadian awal pagi semalam.
“Namun, tiada kemalangan jiwa yang melibatkan kakitangan mahupun orang awam.
“Sebanyak 11 daripada 50 gerabak telah tergelincir, manakala 39 gerabak lagi dengan lokomotif tren itu masih berada di atas landasan.
“Perkhidmatan KTM Komuter yang melalui laluan tersebut tidak dapat beroperasi ekoran insiden itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perkhidmatan komuter bagi laluan Pelabuhan Klang dan Tanjung Malim akan ditamatkan di Stesen Subang Jaya dan Shah Alam.
“KTMB sedang giat menjalankan kerja-kerja pengalihan gerabak ke lokasi yang lebih selamat.
“Ini bagi membolehkan kerja-kerja membaiki landasan dilakukan serta-merta dan siasatan insiden itu juga telah dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu berlaku,” katanya.
Katanya, KTMB menyediakan bas-bas perantara kepada para penumpang yang terlibat dari Stesen Subang Jaya ke Stesen Shah Alam dan sebaliknya bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-2267 1200 atau layari saluran media baharu KTMB,” katanya.
-SH