Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
HULU KELANG, 28 Feb (Malaysiaaktif) – Pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka sesi persekolahan secara berperingkat mulai awal Mac ini menjadikqn ibu bapa golongan yang sibuk ketika ini.
Tinjauan di beberapa premis menjual pakaian sekolah sedikit sesak bagi keluarga menguruskan persiapan akhir membeli kelengkapan sekolah yang bermula Isnin ini.
Pekerja swasta, Nur Haslida Daud, 36, berkata dia berkesempatan membeli kelengkapan persekolahan anak-anaknya hari ini disebabkan kesibukan bekerja dan baharu mendapat gaji.
“Disebabkan penularan COVID-19 masih berlaku, saya cuma membeli ikut keperluan kerana bimbang sekolah akan ditutup lagi.
“Saya beli baju sekolah anak saya yang bakal masuk darjah satu, sementara abangnya menggunakan uniform lama memandangkan tahun lepas hanya sempat sekolah kira-kira tiga bulan sahaja.
“Selain itu, saya beli saiz yang besar kerana sekiranya sekolah ditutup lagi, baju boleh digunakan untuk tahun depan dan mengelak pembaziran,” katanya.
Anggota tentera, Juazan Ahmad, 41, pula berkata beliau membelikan setiap anaknya sepasang uniform memandangkan baju sekolah lama sudah singkat.
“Diharapkan kerajaan dapat teruskan sesi persekolahan namun sekiranya terpaksa tutup sekolah sekalipun kita kena akur kerana ini soal penyakit yang kita tak nampak, jadi kita kena patuh dan yakin kerajaan telah membuat keputusan yang terbaik.
“Belajar di rumah menerusi dalam talian tidak sama dengan belajar di sekolah, anak-anak lebih fokus kalau di sekolah,” katanya yang mempunyai lima orang anak.
Sementara itu, pengurus jualan sebuah pusat pakaian Nupusdevi Kasim, berkata orang ramai mula beratur bagi mendapatkan pakaian sekolah anak-anak seawal jam 9.45 pagi.
“Perniagaan kembali sibuk selepas kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah dua minggu lepas dan dijangka berterusan sehingga minggu depan.
“Untuk mengelak keadaan sesak, kami mengehadkan hanya 60 pengunjung bagi setiap sesi selain mengingatkan pengunjung untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP),” katanya.
-SH