Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 6 Feb (Malaysiaaktif) – Pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) kali ini berbeza dengan program sebelum ini, kerana kaedahnya adalah berlandaskan pembiayaan patuh syariah.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kelebihan PPLH 2.0 adalah, segala urusan pelanggan dilaksanakan secara telus dan pelanggan dapat melihat segala proses aliran kewangan yang terlibat.
“Pelanggan juga dibekalkan maklumat dengan jelas jumlah keseluruhan pembiayaan tanpa sebarang caj tambahan dan tersembunyi, serta dilindungi takaful,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Khairuddin berkata, lebih menarik mengenai pembiayaan ini adalah satu-satunya pinjaman mudah bagi pembangunan ladang hutan yang ditawarkan di dalam negara ini, malah kadar dan tempoh keseluruhan pembiayaan serta tempoh penangguhan kelak, memberikan keuntungan kepada para pelanggan.
“Pelaksanaan PPLH terdahulu yang dimulakan sejak 2007 telah pun berakhir pada tahun lalu. Sehingga 31 Disember 2020, seluas 126,457.99 hektar ladang hutan telah dibangunkan dan melibatkan 82 perjanjian daripada 70 buah syarikat dari seluruh Malaysia. Syarikat-syarikat peminjam akan mula membuat pembayaran balik pinjaman, berdasarkan perjanjian yang telah dimeterai,” katanya.
Mohd Khairuddin berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berharap, syarikat-syarikat peminjam dapat membuat perancangan bayaran balik pinjaman berdasarkan perjanjian, terutamanya peminjam yang akan membuat pembayaran mulai 2022.
Katanya kelancaran pembayaran balik ini penting, bagi memastikan kelangsungan program pembangunan ladang hutan, bagi memenuhi jaminan kelestarian dan daya saing industri perkayuan Malaysia di pasaran tempatan serta antarabangsa.
Mohd Khairuddin berkata KPPK bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB), sentiasa komited dalam menambah baik program ini dari semasa ke semasa.
Pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah PPLH 2.0 disediakan KPPK di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan berterusan pada masa hadapan.
— BERNAMA