Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak
GOMBAK, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Polis menahan seorang lelaki disyaki pemandu sebuah kereta yang melanggar seorang anggota polis dalam kejadian di kilometer 13.6 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Gombak awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata dipercayai berlaku semasa anggota berusia 56 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dalam perjalanan dari arah Ampang menghala Batu Caves.
“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah kereta berwarna merah dipandu suspek telah melanggar belakang motosikal mangsa.
“Kesan perlanggaran tersebut menyebabkan motosikal terseret bersama mangsa sejauh 100 meter ke arah kiri jalan.
“Setelah kemalangan berlaku, kereta terlibat telah meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata, akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, luka-luka di kaki kanan dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Hasil maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, IPD Gombak telah berjaya menahan lelaki berkenaan di hadapan sebuah premis di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan.
“Hasil semakan mendapati suspek yang berusia 35 tahun itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan suspek akan di bawa Hospital Selayang untuk ujian air kencing dan darah,” katanya.
Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang pada esok untuk permohonan reman dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat agar tampil membantu pihaknya.
-NAZ