Laporan/foto: Bustan Made Aming/Johny George Kimlon(Kota Kinabalu)
PAPAR, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Program bantuan yang dilaksanakan kerajaan negeri sehingga penghujung tahun ini meringankan beban pelajar daripada keluarga B40.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif, berkata program-program tersebut dijangka bakal meringankan beban ekonomi kepada keluarga yang berpendapatan isi rumah tidak melebihi RM5000.
“Melalui program Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (BUDI), RM2000 akan diberikan kepada pelajar-pelajar yang telah mendaftar dan diterima masuk ke universiti awam dan swasta untuk mengikuti pengajian sarjana muda tahun pertama.
“Permohonan program ini dibuka bermula April hingga Oktober dan kelayakan adalah berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu dari golongan B40 dan dianggarkan 5000 pelajar akan menerima bantuan ini,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bagi pengurusan dan aktiviti keagamaan Lembaga Polis (LEDPOL) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Papar, di sini kelmarin.
Jelas Ariffin, pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM, STPM dan STAM pada hujung tahun ini turut menerima RM200 menerusi program Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI).
Selain itu, kerajaan negeri turut menyalurkan Bantuan Khas Komputer (BAIK) kepada semua pelajar yang berasal dari Sabah.
“Bantuan ihsan komputer riba ini juga akan diberikan kepada pelajar ketegori miskin tegar dan akan diagihkan setelah bekalan komputer diterima.
“Bantuan ini akan diberikan secara berfasa iaitu fasa pertama memperuntukkan 10 ribu unit komputer riba dan akan diagihkan kepada penerima yang telah dikenal pasti melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Arifin ketika mengadakan lawatan kerja sehari ke Daerah Papar, Kuala Penyu, Membakut dan Beaufort turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM220,000 kepada PPD, IPD, masjid serta pusat-pusat tahfiz daerah dalam siri lawatan tersebut.
Mengiringi lawatan berkenaan ialah Setiausaha Tetap menteri Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Norjeli Dais serta Timbalan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JHEAINS) Mohamad Sidik Awang Adi.
-RI