Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

COVID: Kes Baharu Meningkat kepada 2,154, Enam Kematian

By 6 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Sejumlah 2,154 kes harian baharu COVID-19 dilaporkan meningkat sedikit berbanding 2,063 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, enam lagi kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas menjadikan bilangan yang meninggal dunia akibat virus itu di negara ini 1,159 orang.

“Kes sembuh yang dicatat hari ini 3,275 orang, lebih tinggi daripada kes baharu yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, di sini semalam.

Sejumlah 184 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 87 orang memerlukan bantuan alat pernafasan.

Dr Noor Hisham berkata, Selangor kekal mencatat kes baharu paling tinggi iaitu 794 kes diikuti Johor (463) dan Sarawak (250).

Katanya, 10 kluster baharu dikenal pasti dengan lapan kluster melibatkan tempat kerja dan masing-masing satu kluster keagamaan dan kluster komuniti.

“Kluster baharu tempat kerja yang direkodkan ialah Tapak Bina Jalan Zamrud, Jalan Dato Sellathevan, Industri Cheras Jaya dan Meranti Utama di Selangor; Kampung Nyatoh di Selangor dan Negeri Sembilan; Persiaran Alam di Kuala Lumpur; Jalan Mutiara Barat di Kuala Lumpur dan Selangor; dan Perusahaan 10 di Pulau Pinang.

Kluster baharu komuniti pula dikesan di Kuala Punteh di Sabah, manakala kluster keagamaan di Jalan Senu di Perak.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda