Laporan/foto: Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR ,17 Mac ( Malaysiaaktif) – Dewan Wawasan 2020 Kangar telah dipilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berikutan dewan tersebut yang mempunyai keluasan sesuai serta dilengkapi dengan pengangkutan awam dan tempat letak kereta yang luas untuk kemudahan penerima-penerima vaksin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, di laman media sosial rasminya, selain daripada kemudahan logistik yang lengkap PPV Dewan Wawasan 2020 ini juga menyediakan dua katil pemerhatian yang dilengkapi dengan troli kecemasan serta perkhidmatan ambulans sekiranya penerima vaksin mengalami tindak balas yang tidak diingini.
“Persediaan rapi yang telah dibuat haruslah diberikan pujian bukan sahaja kerana kemudahan yang sedia ada tetapi juga dengan penglibatan pelbagai pihak pemegang taruh dalam usaha membantu kerajaan bagi memerangi pandemik COVID-19,” menurut kenyataan tersebut.
Sementara itu, pada sesi lawatan kerja rasmi ke PPV Dewan Wawasan 2020 beliau turut melihat sendiri perjalanan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) fasa satu dan persediaan bagi menghadapi fasa dua dan fasa tiga.
“Dianggarkan pusat ini mempunyai kapasiti untuk menyuntik sebanyak 1080 dos vaksin sehari,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri dan agensi-agensi berkaitan yang sentiasa komited dan saling bekerjasama bagi menjayakan PICK ini.
Setakat ini, seramai 6,804 orang atau 74.5 peratus petugas barisan hadapan di negeri ini termasuk anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam telah divaksinkan.
-NI-