Laporan/foto: Norhasliza Hamzah/Muhammad Nazriq Hakimi Abdul Gani (Segamat)
SEGAMAT, 8 Mac (Malaysiaaktif) – Rakyat disaran supaya tidak takut untuk mengambil vaksin COVID-19 dalam usaha menangani sepenuhnya jangkitan virus berkenaan.
Menurut Pegawai Pergigian Daerah Segamat Dr. Nur Aqmar Ismail, masyarakat perlu faham bahawa vaksin ini adalah sebagai langkah jangka panjang untuk melindungi diri dan kekuatan antibodi.
“Vaksin bukan sahaja penting untuk diri sendiri tetapi ia juga untuk melindungi orang yang kita sayang, komuniti dan negara dari jangkitan wabak COVID-19.
“Mereka yang tidak mengambil vaksin mungkin tidak akan mengalami kesan sampingan, tetapi risiko untuk dijangkiti kuman yang berbahaya boleh menjadi sangat tinggi,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan vaksin di Dewan Serbaguna Segamat, di sini semalam.
Beliau turut menyeru agar masyarakat tidak perlu takut atau fobia untuk menerima vaksin COVID-19
“Hari ini, saya dan para petugas pergigian telah selamat divaksin, perasaan tadi agak berdebar tetapi selepas sahaja disuntik memang tiada langsung rasa sakit, pening-pening atau simptom-simptom negatif.
“Proses suntikan juga berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Pegawai Kesihatan Daerah Segamat Dr. Zaid Kassim, berkata seramai 450 petugas barisan hadapan di daerah ini telah menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech pada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Daerah Segamat.
“Program ini yang berlangsung selama enam jam melibatkan penerima vaksin dari pejabat kesihatan, pejabat pergigian, klinik kesihatan, klinik pergigian, klinik komuniti dan klinik desa dalam daerah ini.
“Bagi suntikan vaksin fasa pertama, ia merangkumi petugas barisan hadapan KKM yang berisiko dijangkiti COVID-19 ketika menjalankan tugas mereka,” ujarnya lagi.
Zaid memaklumkan bahawa suntikan dos yang kedua akan dibuat dalam tempoh tiga minggu dari tarikh suntikan dos pertama.
“Pada program ini, terdapat tiga fasa pemberian vaksin COVID-19 di mana fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan KKM, petugas barisan hadapan bukan KKM yang akan menerima suntikan pada 13 Mac 2021 dan petugas barisan hadapan swasta merangkumi doktor-doktor swasta, pengamal-pengamal perubatan dan pusat-pusat hemodialisis pada 18 Mac 2021 untuk melengkapkan fasa satu suntikan COVID-19 di daerah ini.
“Selesai nanti fasa satu, kita akan teruskan dengan fasa kedua dan fasa ketiga yang mana ia akan berlangsung sehingga Februari 2022,” katanya.
Turut hadir, Penolong Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Johor Mohd Hasbullah Mat Taib, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal) Mohamad Ruzaili Azmi dan Pegawai Penerangan Daerah Nor Sofian Abdul Manan.
-NI-