Laporan/foto: Salina Hasan@Abd Rashid/Rizal Jasmi (Alor Gajah)
ALOR GAJAH, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang telah bermula 26 Februari 2021 memberi keyakinan kapada rakyat bahawa penularan wabak ini mampu dibendung tidak lama lagi.
Namun begitu terdapat segenlintir daripada rakyat masih tidak memahami dan mendapat maklumat yang kurang tepat sehingga mereka tidak berani untuk divaksinasi.
Pegawai Perubatan Unit Kawalan Penyakit Berjangkit, Pejabat Kesihatan Daerah Alor Gajah Dr. Mohd Khairul Md Zin, menyatakan bahawa orang ramai masih ragu-ragu untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin tersebut.
“Terlalu banyak berita negatif di luar sana yang mempengaruhi masyarakat, oleh itu diharapkan maklumat yang dikongsi hari ini mampu membuka minda dan seterusnya masyarakat dapat mengambil langkah terbaik bagi melindungi komuniti ini.
“Individu yang mempunyai penyakit kronik terutama kencing manis sangat digalakkan untuk mendapatkan vaksin tersebut kerana pesakit berkenaan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 berbanding individu yang menghidap penyakit lain.
“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Penerangan Daerah Alor Gajah kerana mengambil inisiatif menjalankan tugas tanggungjawab khidmat komuniti (CSR) membantu mendaftarkan masyarakat setempat untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya yang ditemui di Taman Kebaya, di sini baru-baru ini,
Menurut warga emas, Ibrahim Ali, 62, beliau maklum tentang vaksin tersebut namun tidak mengetahui bagaimana hendak mendaftar.
“Hari ini saya hadir untuk mendaftar supaya saya tidak dijangkiti wabak COVID-19 dan melindungi diri serta keluarga.
“Saya amat berterima kasih kepada Pejabat Penerangan datang hari ini dan dapat bantu pakcik daftar nak dapat vaksin ni, kalau tidak ketinggalanlah warga emas macam pakcik ni,” ujar pesara tentera ini yang turut mendaftarkan isteri dan anak beliau semasa program tersebut dilaksanakan.
-KN