Laporan/foto: Abidin A. Ghani (Hulu Terengganu)
HULU TERENGGANU, 31 Mac, (Malaysiaaktif) – Siri Jelajah Malaysia Prihatin dilaksanakan bagi memberi penjelasan dan pemahaman kepada masyarakat dalam usaha kerajaan membantu rakyat sejak bermula penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid, berkata bantuan–bantuan yang telah diberikan kerajaan kepada semua lapisan masyarakat membuktikan kerajaan Malaysia prihatin dengan keadaan semasa rakyat.
“Pelaksanaan program Malaysia Prihatin melibatkan Menteri dan Timbalan Menteri dengan kerjasama jabatan yang berkaitan di seluruh Malaysia bagi memastikan rakyat di setiap lapisan masyarakat menerima maklumat yang sahih selain menerima perkhidmatan secara terus dari kementerian berkaitan,” katanya di Dewan Sivik Ajil, di sini kelmarin.
Baru-baru ini, program Malaysia Prihatin Daerah Hulu Terengganu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada ketua–ketua jabatan, kakitangan awam serta masyarakat setempat Hulu Terengganu.
Program jelajah tersebut dimulakan dengan siri ceramah oleh pegawai dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Negeri Terengganu berkaitan bantuan kepada golongan yang terlibat dalam perniagaan dan juga pegawai dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu berkaitan kepenggunaan dan isu-isu semasa kenaikan harga barang.
Selain ceramah kepada hadirin, KPDNHEP Negeri Terengganu serta beberapa agensi kerajaan turut membuka kaunter khidmat pelanggan bagi memberi khidmat terus kepada hadirin yang turut serta dalam program berkenaan.