Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerajaan Negeri Harap Ibu Bapa OKU Daftar Anak di JKM

By 25 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 25 Mac (Malaysiaaktif) – Ibu bapa dan masyarakat diharap dapat memberi peluang dan keyakinan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya kanak-kanak untuk menuntut ilmu dan mencungkil bakat sendiri.

Pengerusi Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Zaiton Ismail, berkata beliau berharap agar ibu bapa dapat mendaftarkan anak-anak OKU bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan pendidikan yang lebih sempurna.

“Saya menyeru ibu bapa yang mempunyai anak OKU untuk mendaftarkan anak mereka di Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diberikan pendidikan dan asuhan agar mereka boleh menjalani kehidupan dengan berdikari sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Serahan Sumbangan kepada Persatuan Cerebral Palsy Johor (JCPA), di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Johor Corporation (JCorp) menerusi Yayasan JCorp telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM500,000 kepada persatuan tersebut.

Menurut Pengerusi yayasan tersebut Rozaini Mohd Sani, sumbangan tersebut adalah bagi membiayai keperluan untuk menjalankan aktiviti kanak-kanak cerebral palsy yang diuruskan oleh persatuan ini.

“Ini merupakan sumbangan permulaan dari Yayasan JCorp pada tahun ini dan kita akan melihat lagi bentuk sumbangan yang boleh disalurkan pada masa akan datang seperti khidmat nasihat dan idea-idea untuk memajukan lagi persatuan,” ujarnya.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim, berkata yayasan tersebut menghargai komitmen dan dedikasi tinggi guru-guru dan kakitangan JCPA yang telah berkhidmat kepada negeri Johor sejak lebih daripada 54 tahun lalu.

“Saya berharap dengan sumbangan dan sokongan ini JCPA akan terus menyediakan khidmat rehabilitasi dan pendidikan khas khususnya untuk individu dewasa dan kanak-kanak cerebral palsy,” katanya.

Turut hadir, Pengerusi JCPC Tunku Fatimah Faridah Tan Sri Tunku Osman dan Timbalan Pengerusinya Dr Ballan Kannan.

-NI-

Tinggalkan komen anda