Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Kerajaan Negeri Cadang Naik Taraf Jeti Terminal Feri Antarabangsa Kukup

By 13 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Krisha Selladurai/Surina Simat (Pontian)

PONTIAN, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk menaik taraf Jeti Terminal Antarabangsa Kukup Pontian termasuk menjadikannya sebagai zon bebas cukai bagi merancakkan lagi ekonomi masyarakat setempat.

Menurut Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, usaha ini untuk menjadikan Kukup sebagai mercu tanda pusat pelancongan yang setanding dengan pintu masuk lain di negeri ini.

“Kerajaan negeri sedang meneliti cadangan untuk naik taraf jeti dan menambah baik kemudahan yang sedia ada untuk kargo dan penumpang berikutan Kukup berpotensi sebagai destinasi tarikan pelancongan dan pusat makanan laut.

“Pelbagai kemudahan lain akan dimajukan di kawasan ini seperti kompleks bebas cukai, hotel termasuk menambah kompleks kastam dan imigresen”, katanya lagi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyampaian Keputusan Permohonan Pembayaran Lesen Tol (Temporary Occupatin Land) bagi Penternak- Penternak Ikan Sangkar Kukup Pontian, di sini, semalam.

Tambah beliau, semua usaha ini akan dilaksanakan tanpa mengubah daya tarikan yang sedia ada di kawasan berkenaan yang terkenal dengan industri penternakan ikan dalam sangkar.

“Kita akan kekalkan aktiviti tradisi seperti penternakan ikan dalam sangkar yang mana kerajaan negeri telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pajakan (TOL) kerana adanya nilai-nilai tarikan pelancong untuk menambah ekonomi masyarakat setempat.

“Kerajaan juga telah meluluskan 80 permohonan pembayaraan lesen TOL kepada pengusaha Penternak Ikan Sangkar di Kukup Laut yang kebanyakannya telah mengusahakan penternakkan ikan sangkar melebihi 10 tahun bagi tujuan pasaran tempatan dan pasaran luar seperti Singapura,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng merangkap Ahli Parlimen Tanjung Piai.

-NI-

Tinggalkan komen anda