![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/IMG-20210313-WA0018.jpg)
Laporan/foto: Mohd Hairul Rohani/Jeffren Malaning(Kota Kinabalu)
KUDAT, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Pendidikan akademik dan keagamaan perlu seiring bagi menjamin masa depan generasi pelapis negara.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dua aspek pendidikan yang seimbang dapat memastikan masa depan seseorang lebih cerah.
“Buat masa ini, kita melihat pembangunan institusi keagamaan tidak hanya tertumpu di sesebuah daerah, malah lebih ramai masyarakat berminat dan bersemangat dalam membangunkan dunia pendidikan.
“Selain itu, pusat madrasah yang berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) juga memudahkan pemantauan, khidmat nasihat serta bantuan dari aspek pengurusan.
![1. Arifin (tengah) mewakili Kerajaan Negeri dan MUIS menyampaikan sumbangan berjumlah RM32,000 kepada Pondok Al-Fateh, Kampung Tempasuk, Kota Belud.](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/IMG-20210313-WA0016-1024x582.jpg)
Arifin (tengah) mewakili kerajaan negeri dan MUIS menyampaikan sumbangan berjumlah RM32,000 kepada Pondok al-Fateh, Kampung Tempasuk, Kota Belud.
“Usaha ini perlu diteruskan dan kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan penuh bagi inisiatif yang dilakukan individu, persatuan mahupun agensi dalam membangunkan pendidikan di Sabah,” katanya dalam lawatan kerja Jelajah Mesra Menteri Tugas-Tugas Khas (Wam-2Care) ke Ibu Pejabat Pendidikan, Sekolah Agama Negeri dan Madrasah Tahfiz di sekitar Kota Belud, Kota Marudu, Pitas, daerah kecil Matunggong serta Kudat, kelmarin.
Menurut Arifin, pendidikan akademik juga perlu menjadi sebahagian daripada pendidikan madrasah bagi melahirkan generasi tahfiz yang mempunyai kelulusan akademik seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan kelak.
-RI