Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

Jangan Wujudkan Penagih Baharu

By 16 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Penyalahgunaan dadah merupakan masalah global yang menjadi musuh utama negara dan mampu menggugat keamanan dan keselamatan masyarakat.

Menurut Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan Daerah (AADK) Batu Pahat Mohamed Izuan Abdul Rahman, kes penagihan dadah di daerah ini merupakan keempat yang tertinggi di negeri ini.

“Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku di mana-mana sahaja, oleh itu saya berharap komuniti setempat dapat memainkan peranan dalam membanteras gejala ini dengan cara melaporkan sebarang aktiviti yang berkaitan kepada AADK.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab dalam membanteras dadah, pihak AADK sentiasa berusaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang bahayanya penyalahgunaan dadah, khususnya kepada golongan belia,” katanya ketika ditemui pada Program Community Empowerment AADK di Bangunan Gunasama Persekutuan, di sini semalam.

Tambah beliau, taklimat anjuran pejabat AADK Batu Pahat ini diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai bahaya dadah dalam kalangan masyarakat.

“Gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera, walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia.

“Oleh itu, usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu yang mana jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun AADK,” ujarnya.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Syed Esa, Roziah Tawil, 59, yang ditemui meluahkan kebimbangannya terhadap isu dadah yang berlaku dalam kalangan para remaja.

“Di sekolah, saya mengambil pendekatan membimbing para pelajar melalui guru kaunselor yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menggambarkan betapa bahayanya dadah melalui kuiz, video tiktok dan lima minit penerangan bahaya dadah.

“Saya yakin apabila pelajar mengetahui baik buruk kesan berkaitan dadah ini mereka akan berfikir banyak kali sekiranya mahu melibatkan diri ke kancah yang tidak sihat ini,” ujarnya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon ketika menyampaikan ucapan pada majlis perasmian turut mengingatkan semua golongan agar sentiasa menggembeleng tenaga dalam membanteras gejala dadah dikalangan komuniti.

Turut hadir, Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu.

-NI-

Tinggalkan komen anda