Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah/Anuar Che Amat (Kangar)
KANGAR, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sukarelawan Kesatuan Penolong Pegawai Perubatan, Kesatuan dan Persatuan Pembantu Perubatan Negeri Perlis membantu kerajaan menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Menurut Pengerusi Kesatuan Penolong Pegawai Perubatan, Kesatuan dan Persatuan Pembantu Perubatan Negeri Perlis Hairul Hisham Senapi, sehingga hari ini seramai 35 orang penduduk telah berjaya mendaftar sebagai penerima vaksin.
“Kerjasama sukarelawan daripada persatuan dan agensi-agensi berkaitan secara berterusan serta pembukaan kaunter oleh Jabatan Kesihatan Negeri akan memastikan PICK akan berjaya dilaksanakan dan tiada yang akan tercicir menerima suntikan vaksin.
“Program imunisasi menyeluruh ini untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui pada sesi pendaftaran vaksin Program Komuniti@PMR di Pasar Sehari Balai Baru Beseri, di sini semalam.
Tambah beliau, majoriti yang terlibat untuk sesi pendaftaran vaksin ini adalah mereka yang bertugas sebagai petugas barisan hadapan dan petugas kesihatan yang mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
“Walaupun mereka sibuk dengan tugas hakiki dan tanggungjawab sebagai petugas barisan hadapan, mereka tetap memberikan sepenuh perhatian bagi membantu komuniti setempat untuk mendaftar terutama golongan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“Saya berharap masyarakat dapat tampil dan mendaftar sebagai penerima vaksin kerana ia bukan sahaja akan melindungi diri kita tetapi juga orang-orang yang kita sayang,” ujarnya.
Hairul berkata, kesungguhan ahli-ahli kesatuan untuk turun padang bagi membantu memastikan PICK mencapai sehingga 80 peratus harus diberikan pujian.
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Jabatan Penerangan Negeri Perlis kerana turut bersama-sama membantu menjayakan pendaftaran vaksin di negeri ini.
“Peranan semua pihak amat penting bagi memastikan tiada seorang pun yang tercicir untuk mendapatkan suntikan vaksin ini,” ujarnya lagi.
-NI-