Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Polis Selamatkan 38 Kanak-kanak Myanmar Dieksploitasi sebagai Buruh Paksa

By 6 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

SELAYANG, 6 Mac (Malaysiaaktif) – Polis berjaya selamatkan 38 kanak-kanak Myanmar bawah umur yang dieksploitasi sebagai buruh paksa dalam satu operasi pada 24 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata kejayaan tersebut susulan serbuan oleh Bahagian D3, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

“Pihak polis telah membuat beberapa siri serbuan di premis kilang memproses pelitup muka di Selayang.

“Tangkapan telah dibuat terhadap tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 21 hingga 41 tahun yang berperanan sebagai majikan dan pemilik kilang selain penyelia, pembantu serta penjaga.

“Seramai 38 orang mangsa kanak-kanak warganegara Myanmar berumur 13 hingga 18 tahun telah berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) kerana disyaki menggaji dan melakukan eksploitasi kerja paksa terhadap 38 orang mangsa bawah umur.

“Kesemua mangsa kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Kanak-kanak Rembau, Negeri Sembilan dan Rumah Perlindungan Bukit Senyum, Johor Bahru, Johor.

“Tiga suspek yang ditangkap sebelum ini telah didakwa di Mahkamah ATIP, Klang di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti penyeludupan Migran (Atipsom) 2007 (Akta 670) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan 35 pertuduhan pada 4 Mac lalu.

“Ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah dan mahkamah telah menawarkan jaminan sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan,” jelasnya.

Katanya, kes telah ditetapkan untuk sebutan semula pada 28 April ini.

-SH

Tinggalkan komen anda