Skip to main content
Berita SelatanNegeri Sembilan

Kit Pintar NFT Revolusi Baharu Bidang Pertanian

By 31 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorshazana Shaadan (Port Dickson)/Nurzuliza Jamirsah dan Norfazila Ahmad (Politeknik Nilai)

BANDAR ENSTEK, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Politeknik Nilai (PNS) berjaya menghasilkan Kit Pintar Nutrient Film Technique (NFT) yang mampu memantau pembajaan, suhu, penggunaan air dan lain-lain proses secara lebih berkesan.

Pelajar Politeknik Nilai (PNS) Mohammad Amsyar Norizan, berkata proses membuat Kit Pintar NFT ini merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan berguna serta bertepatan dengan Revolusi Industri (IR) 4.0.

“Inisiatif ini ini menggunakan sistem The Internet of Things (IoT) yang bertujuan meningkatkan lagi keupayaan menghasilkan tanaman secara hidroponik dan inisiatif ini merupakan keluaran inkubator Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM)  di bawah seliaan pensyarah PNS, Mohd Saifuddin Ahmad dan Mohd Shamsul Atan,” katanya  yang juga merupakan salah seorang ahli kumpulan The Apprentice Kit Pintar NFT.

Sementara itu, penyelia The Apprentice Keusahawanan Politeknik Nilai, Mohd Saifuddin Ahmad berkata, NFT merupakan salah satu cara dalam sistem tanaman Hidroponik yang konsep asasnya adalah tanaman yang mempunyai akar tumbuh pada lapisan air baja yang tipis (dangkal) dan sentiasa mengalir sehingga memperoleh air, baja dan oksigen yang mencukupi.

“Rekabentuk yang dibina adalah daripada unit yang paling kecil dan mudah alih sehingga kepada keluasan yang besar untuk pengeluaran hasil yang komersil.

“Di Malaysia khususnya kawasan pertanian tanah tinggi seperti di Cameron Highland, teknologi NFT ini sudah menjadi satu kelaziman bagi pengusaha tanaman sayuran bernilai tinggi seperti tomato, cili benggala, salad dan sebagainya.

“Walaupun kos asas penggunaan teknologi ini adalah agak tinggi dan memerlukan kemahiran yang tinggi, namun pulangan yang tinggi serta cepat menyebabkan ia menjadi satu kaedah penanaman pilihan yang semakin popular di sana,” ujarnya ketika ditemui dalam rangka lawatan kerja Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di institusi pengajian tersebut,  di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman, berkata elemen berteraskan IoT ini sangat penting di mana ia dapat menjimatkan masa dan membantu mempercepat hasil sesebuah tanaman.

“Melalui projek ini, para pelajar dilihat telah diberikan bimbingan dan latihan dalam bidang IoT khususnya bidang pertanian moden,” katanya.

Terdahulu, Mansor telah mengadakan lawatan ke produk inovasi pelajar di Galeri Inovasi Pelajar PNS serta pameran aktiviti keusahawanan dan turut berkesempatan melawat inkubator membaik pulih penghawa dingin, rumah cendawan dan Laman Penyelidik Teknologi NFT Smart Kit sebelum merasmikan Kit Pintar NFT PNS.

Mansor Othman merasmikan Kit Pintar NFT

Mansor Othman merasmikan Kit Pintar NFT

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Ts. Zainab Ahmad.

-FF

Tinggalkan komen anda