Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

1,133 Kes Baharu, Lima Kematian

By 31 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Foto: Infografik KKM

PUTRAJAYA, 31 Mac (Malaysiaaktif) – Kes baharu harian COVID-19 di negara ini meningkat semula kepada empat digit apabila 1,133 kes dilaporkan semalam, selain lima kematian direkodkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kes sembuh pula ialah 1,148, menjadikan kumulatif kes pulih kini 344,018, manakala kes aktif setakat ini 14,199.

Kelmarin (Isnin) buat pertama kali sejak Disember lepas, Malaysia mencatat tiga digit kes baharu iaitu 941 kes.

“Daripada jumlah kes baharu (Selasa), 1,125 adalah penularan tempatan dan lapan kes import, sementara 161 individu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 76 menggunakan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan penularan COVID-19.

Beliau berkata tiga negeri yang mencatat kes paling tinggi adalah Selangor dengan 401 kes diikuti Pulau Pinang (194) dan Sarawak (153), manakala negeri lain merekodkan kes baharu di bawah 100.

Mengenai kematian yang dilaporkan, kesemua individu adalah lelaki warga tempatan dalam lingkungan umur 36 hingga 88 tahun yang masing-masing menghidap penyakit kronik.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan sembilan kluster baharu dikesan membabitkan lima kluster di tempat kerja, tiga kluster komuniti dan satu melibatkan kumpulan berisiko tinggi iaitu Kluster Kota Kemajuan di Johor.

Kluster tempat kerja adalah Kluster Jalan Pinang Raja, Kluster Jalan SC Satu, Kluster Jalan Western di Selangor dan Kluster Jalan Sulaiman (Kuala Lumpur) serta Kluster Batu Enam Setengah (Negeri Sembilan), manakala kluster komuniti adalah Kluster Fasa Dua Semarak dan Kluster Ranggu (Sabah) dan Kluster Jalan Merak di Johor.

— BERNAMA

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda