Foto: Gambar fail
PUTRAJAYA, 7 Mac (Malaysiaaktif) – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan terus memainkan peranan dengan membantu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam merancakkan semula sektor pelancongan, susulan rentas daerah yang kini dibenarkan semula.
Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pihaknya telah menawarkan kerjasama kepada MOTAC yang diterajui oleh Datuk Seri Nancy Shukri, dalam mempromosikan tempat menarik menerusi siaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
“Selain RTM dan BERNAMA, kita juga ada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang dapat membantu MOTAC menghidupkan semula sektor pelancongan yang terjejas susulan pandemik COVID-19, dengan menerbitkan video pendek dan dokumentari … apa sahaja yang boleh dibantu kita akan cuba laksanakan.
“Malah, sekiranya terdapat syarikat persendirian yang berminat untuk menghasilkan video promosi, (mereka) juga boleh memohon geran melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Indera Mahkota Prihatin di Terminal Sentral Kuantan, hari ini.
Program yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Finas Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri itu menyaksikan, seramai 108 pemandu bas dan teksi serta penjaja, diberikan bantuan bakul makanan.
Saifuddin berkata dengan aktiviti pelancongan dihidupkan semula, ia sekali gus dapat membantu ramai pihak yang terkesan dari segi pendapatan, termasuk pemandu bas dan teksi, serta peniaga-peniaga kecil.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KKMM masih belum mendapat maklumat terperinci berhubung jangkaan bila pengamal media akan menerima suntikan vaksin.
“Memang kami ada mohon supaya pengamal media dimasukkan dalam kumpulan pertama, tetapi saya tahu daripada segi keutamaan adalah untuk mereka yang secara langsung berurusan dengan isu-isu keselamatan, tetapi saya belum tahu bila kumpulan media akan divaksinkan,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menerima suntikan vaksin jenis Sinovac bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, untuk membuktikan semua vaksin yang digunakan selamat, selain menangkis berita palsu mengenai keselamatan vaksin.
Media sebelum ini melaporkan golongan guru dan pengamal media, akan disenaraikan dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, bersama lebih 200,000 barisan hadapan yang sudah berdaftar untuk menerima vaksin.
Khairy dilaporkan berkata, pihaknya menyedari terdapat banyak permintaan yang mahu dua golongan itu dimasukkan dalam fasa pertama, yang bermula pada 24 Februari lepas.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, turut meluangkan masa meninjau kiosk tiket tanpa tunai di terminal berkenaan, dan berharap lebih banyak kemudahan seperti itu dapat diwujudkan bagi mengelak orang ramai daripada bersemuka ketika membeli tiket.
— BERNAMA