Laporan/foto: Yaacob Hamud (Kota Marudu)
KOTA MARUDU, 13 Mac (Malaysiaaktif) – Setakat 9 Mac, seramai 3,832,976 individu mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dr Maximus Jonity Ongkili, menyeru masyarakat yang belum mendaftar untuk melakukan sedemikian bagi membanteras penularan wabak seterusnya menyahut seruan kerajaan dalam melindungi diri agar dapat melindungi orang lain.
“Vaksin yang diberikan adalah selamat serta mampu meningkatkan daya tahan individu terhadap virus COVID-19.
“Selain itu, kerjasama daripada masyarakat dalam mematuhi norma baharu serta memutuskan rantaian jangkitan adalah harapan dalam mengembalikan kehidupan seperti dahulu semula.
“Saya difahamkan, setakat 10 Mac seramai 282 orang petugas barisan hadapan di daerah ini telah menerima vaksin COVID-19, bagi individu yang belum mendaftar mereka boleh berbuat demikian melalui aplikasi MySejahtera,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Malaysia Prihatin Peringkat Daerah Kota Marudu sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Dewan Belia dan Sukan Kota Marudu, di sini kelmarin.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Julita Mojungki, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Hendrus Anding, serta Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah Dr Muharrir Kamarudin.
-RI