Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program Malaysia Prihatin Medan Jelaskan Proklamasi Darurat, Vaksinasi

By 14 Mac 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

AMPANG, 14 Mac (Malaysiaaktif) – Program Malaysia Prihatin yang dilaksanakan kerajaan akan menjadi medan menjelaskan isu berkaitan Proklamasi Darurat dan Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata program tersebut akan dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat.

“Program ini akan melibatkan menteri-menteri yang ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) untuk menerangkan Proklamasi Darurat dan program vaksinasi.

“Pendekatannya dengan turun padang dan menyampaikan mesej untuk menggalakkan rakyat mengambil suntikan vaksin, sekiranya dapat capai 70 peratus ianya dapat membendung penularan wabak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melaksanakan program berkenaan di sekitar parlimen Ampang semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Selangor, Ali Suhaili dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Faizatul Aini Mohd Adnan.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Ampang memaklumkan Program Malaysia Prihatin peringkat negeri Selangor dimulakan di tiga lokasi iaitu Bukit Antarabangsa, Kampung Melayu Ampang dan Pangsapuri Sri Intan, Lembah Jaya.

“Selain saya, program di negeri Selangor turut melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Muslimin Yahaya dan Datuk Lee Ban Hong mengikut zon yang ditetapkan.

“Diharap rakyat bersama kerajaan dalam memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP dan disebar luas kepada komuniti lain.

“Sekiranya mereka memberi respon kepada perkara ini akan membolehkan mereka menjayakan program vaksinasi kerajaan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda