![](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/WhatsApp-Image-2021-03-05-at-3.56.17-PM.jpeg)
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohamad Afiq Ahmad Zaid (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Masyarakat setempat di sini menyambut baik pengumuman kerajaan membenarkan kembali masjid dan surau di seluruh Negeri Terengganu menganjurkan aktiviti pengajian dan agama berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa hari ini.
Selasa lalu, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah memaklumkan bahawa kebenaran berkenaan diberikan, berikutan pengurangan kes positif COVID-19 di negeri ini dan seterusnya telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Sementara itu, menurut Ahli Jawatankuasa Masjid Gong Kijang/Gong Sentol Hassan Alias, berkata pengumuman berkenaan sangat dinanti-nantikan.
“Pelbagai aktiviti pengajian dan agama yang telah dirancang sebelum ini terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP-Bersyarat sebelum ini.
![AJK Masjid Gong Kijang, Hassan Alias, sentiasa menantikan pengumuman membenarkan aktiviti pengajian dan agama dibenarkan beroperasi semula.](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/WhatsApp-Image-2021-03-05-at-3.55.02-PM-300x225.jpeg)
AJK Masjid Gong Kijang, Hassan Alias, sentiasa menantikan pengumuman membenarkan aktiviti pengajian dan agama dibenarkan beroperasi semula.
“Sudah tentu ia saat yang ditunggu-tunggu apabila dapat mengimarahkan semula rumah Allah dengan aktiviti–aktiviti pengajian dan agama, meskipun sebelum ini terpaksa ditangguhkan begitu lama kesan penularan pandemik COVID-19 ini.
“Masyarakat setempat khususnya ahli kariah masjid, majoriti sudah memahami dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk mengelak penularan virus tersebut di kalangan jemaah,” katanya ketika ditemui di masjid tersebut, di sini semalam.
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Multimedia dan Media Baharu Mohd Norizu Ismail, berkata pematuhan SOP yang ketat perlu diterapkan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat di hentikan.
“Walaupun kes positif COVID-19 di negeri ini semakin berkurang dan banyak kelonggaran yang diberikan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula esok, namun ia bukan alasan untuk kita alpa,” katanya ketika di temui di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal.
![Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Multimedia dan Media Baharu, Mohd Norizu Ismail berharap pematuhan SOP yang ketat perlu diterapkan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dihentikan.](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/WhatsApp-Image-2021-03-05-at-3.56.17-PM-300x225.jpeg)
Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Multimedia dan Media Baharu, Mohd Norizu Ismail berharap pematuhan SOP yang ketat perlu diterapkan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat dihentikan.
“Selagi belum mencapai sifar kes COVID-19, selagi itu kita masih perlu berjuang memerangi wabak ini bagi mengecapi erti sebenar kehidupan bebas dan normal seperti sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Arang, Muhammad Ramzi Ibrahim, yang juga merangkap Ahli Jawatankuasa Surau Pok De Haji Omar, berkata para jemaah surau dan individu yang mengikuti pengajian agama perlu bersikap terbuka dan menerima norma baharu dengan baik.
“Dalam memastikan pematuhan SOP ini, ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau sendiri perlu memainkan peranan memastikan setiap jemaah yang hadir ketika menghadiri aktiviti pengajian dan agama mematuhinya dengan betul.
![Pengerusi JPKK Pengkalan Arang, Muhammad Ramzi berkata semua pihak perlu bersikap terbuka di dalam menerima budaya norma baharu khususnya di Masjid dan Surau.](https://malaysiaaktif.my/wp-content/uploads/2021/03/WhatsApp-Image-2021-03-05-at-3.57.26-PM-300x225.jpeg)
Pengerusi JPKK Pengkalan Arang, Muhammad Ramzi berkata semua pihak perlu bersikap terbuka di dalam menerima budaya norma baharu khususnya di Masjid dan Surau.
“Selain itu, kawalan kendiri dan amalan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan juga penting untuk memastikan tiada kes jangkitan virus itu berlaku dalam kalangan jemaah yang hadir,” katanya.
Selaras dengan pelaksanaan PKPP di Terengganu, selain daripada memperluaskan aktiviti keagamaan di masjid dan surau, majlis akad nikah juga dibenarkan di masjid dan surau dengan kapasiti tidak melebihi 20 orang.
-ii-