Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Manarina Aqilah
SERDANG, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Petugas barisan hadapan Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini rasa lebih yakin untuk menjalankan tugas mereka selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.
Petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Ramacantiran M.Ananthan, berkata beliau tidak gementar ketika disuntik kerana doktor bertugas telah menyakinkan dirinya bahawa tiada kesakitan ketika proses tersebut.
“Saya nasihatkan orang ramai mengambil suntikan vaksin secepat mungkin demi melindungi diri sendiri dan orang lain.
“Tidak sakit dan kesan sampingan pun selepas ambil vaksin ini, malah rasa lebih yakin untuk berjumpa orang ramai ketika bertugas dan ia juga untuk melindungi keluarga saya juga,” katanya.
Bagi petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Nur Faizura Safea Md Safea, berkata beliau sangat bangga kerana menjadi salah seorang yang terawal menerima suntikan vaksin COVID-19 di negara ini.
“Vaksin ini perlu diambil untuk keselamatan diri sendiri, ahli keluarga dan orang lain.
“Cuba buka minda dan menerima (vaksin) sebab kerajaan telah putuskan hukumnya harus diambil, jangan kita buat pandangan sendiri.
“Alhamdulillah, sehingga kini saya tiada kesan sampingan selepas ambil vaksin ini,” katanya.
Sementara itu, Koordinator Program Vaksinasi Petugas PKRC Bersepadu MAEPS 2.0, Dr Hisyamuddin Mohd Lutfi, berkata program vaksinasi berkenaan bermula 1 Mac lalu dimulakan dengan pasukan vaksinator seramai 18 orang.
“Seramai 1,000 orang petugas akan terlibat dalam program ini meliputi kakitangan KKM, polis dan agensi-agensi lain sehingga 12 Mac ini.
“Setiap penerima vaksin perlu melalui lima stesen bermula dengan pendaftaran, pemahaman tentang vaksin dan risiko, bilik suntikan, pemerhatian selama 30 minit serta temujanji untuk dos kedua,” ujarnya.
-NAZ