Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

NGO Sebagai Mata, Telinga Kerajaan dalam Sampaikan Bantuan

By 23 Mac 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Annuar Zulkernain/Mohd Nurullail A. Rahman (Alor Gajah)

ALOR GAJAH, 23 Mac (Malaysiaaktif) – Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) terutama yang berorientasikan kebajikan dimohon untuk terus bersama-sama dengan kerajaan sebagai mata dan telinga dalam memastikan agar tiada rakyat yang memerlukan bantuan kerajaan tercicir.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata NGO perlulah saling bantu-membantu dalam perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.

“Terdapat banyak NGO yang mempunyai ahli yang berkemampuan dan berkelayakan untuk bersama-sama dengan agensi kerajaan dalam krisis yang dihadapi rakyat seperti bencana banjir.

“Pihak kementerian melihat perkara ini wajar diteruskan pada masa hadapan di samping pihak NGO juga boleh memohon bantuan daripada pihak kementerian dalam segi latihan, kemahiran dan bantuan kewangan,” katanya dalam sesi dialog awam di Dewan JAPERUN Taboh Naning, di sini semalam.

Menurut Siti Zailah, pihak kementerian turut berazam untuk memudahkan urusan permohonan bantuan dengan mengurangkan birokrasi yang selama ini melewatkan penyampaian bantuan kepada rakyat.

“Agensi dibawah KPWKM diminta untuk memastikan setiap bantuan yang dipohon diproses dan diluluskan seberapa segera yang mungkin, perkara ini telah ditegaskan oleh Perdana Menteri dan Menteri KPWKM sendiri supaya kita mempermudahkan urusan rakyat yang memohon bantuan terutamanya semasa pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut, EXCO Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Melaka Datuk Latipah Omar dan Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Burhanuddin Bachik.

-KN

 

Tinggalkan komen anda