Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PDT Klang Roboh Kilang Haram

By 11 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Luqman Hakim (Petaling)

PELABUHAN KLANG, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Sebuah kilang kayu yang dibina secara haram atas tanah kerajaan dirobohkan pihak Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu operasi bersepadu di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Penolong Pegawai Daerah Klang Mohd Saiful Azri, berkata pihaknya telah menerima aduan berkenaan pencerobohan tanah kerajaan termasuk pencemaran bau dan berlaku aktiviti pelupusan sampah haram di kawasan berkenaan.

“Kita telah membuat siasatan dan mendapati berlakunya penerokaan tanah secara haram dengan pembinaan kilang kayu dan berlaku juga pelupusan sampah haram yang menyebabkan berlakunya pencemaran dan menutup aliran sungai.

“Amaran telah diberikan namun tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pengusaha kilang ini sejak tahun 2018 lagi.

Kilang kayu yang dibina secara haram atas tanah kerajaan

Kilang kayu yang dibina secara haram atas tanah kerajaan

“Pihak kami juga telah mengeluarkan tiga notis terhadap premis ini dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Pentadbir Tanah Klang hari ini mengambil tindakan perobohan struktur yang terdiri daripada kilang kayu, setor simpanan barang, rumah-rumah pekerja dan juga pondok sembahan,” katanya ketika sidang media di lokasi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Yang Di-Pertua MPK, Elya Marini Darmin, berkata pengusaha kilang tersebut didapati tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh MPK.

“Saya cadangkan kepada pengusaha premis sekiranya masih mahu menjalankan aktiviti di sini, mereka hendaklah berpindah ke tanah industri dan bukan membinanya di atas tanah kerajaan.

“Bagi pengusaha yang masih degil dan enggan berpindah ke zon industri seperti yang ditetapkan maka tindakan penguatkuasaan akan dilakukan dengan lebih kerap lagi selepas ini,” tegasnya.

Katanya, bancian pihak MPK mendapati sebanyak 800 kilang yang berstatus kilang haram yang dibina tanpa kebenaran dan lebih 300 daripadanya telah membuat permohonan untuk pemutihan bagi meneruskan operasi secara sah.

-NAZ

Tinggalkan komen anda