Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pelbagai Kaedah Dibangunkan Mudahkan Proses Pendaftaran Vaksin COVID-19

By 11 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor Bahru)/Unit Fotografi JaPen Johor 

JOHOR BAHRU, 11 Mac (Malaysiaaktif) – Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Unit Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit Jabatan Kesihatan Negeri Johor Dr. Nor Hana Ahmad Bahuri, golongan warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman yang mempunyai telefon pintar dilihat masih tidak memuat turun aplikasi MySejahtera berikutan mereka tidak mahir menggunakannya dan ini menyukarkan pendaftaran mendapatkan vaksin bagi golongan tersebut.

“Jadi kita harap mereka akan mendaftar secara manual di klinik-klinik kesihatan yang berhampiran kerana fasa seterusnya pada bulan April ini akan melibatkan pemberian vaksin kepada golongan itu.

“Pendaftaran awal perlu dibuat bagi menjamin bekalan vaksin untuk golongan warga emas, rentan dan kurang upaya mencukupi serta seterusnya melindungi mereka daripada mendapat jangkitan,” katanya ketika ditemui pada Program Bicara Semasa Influencer@JapenJohor ‘Sembang Vaksin Bersama Dr. Hana’ di Jabatan Penerangan Negeri Johor, di sini semalam.

Tambah beliau, selain aplikasi MySejahtera, orang ramai boleh mendaftar di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my dan talian hotline 1800-888-828 manakala bagi pendaftaran secara manual, boleh dibuat di fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta atau menerusi program bantuan untuk penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Pelbagai alternatif lain bakal dibangunkan bagi memudahkan para penduduk di kawasan pedalaman untuk mendaftar sebagai penerima vaksin.

“Kaedah yang masih dalam pertimbangan tatacara pelaksanaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri adalah dengan membuat pendaftaran di klinik kesihatan atau klinik swasta dan melalui kaedah program bantuan khidmat masyarakat yang memberi tumpuan kepada penduduk di kawasan yang tidak mempunyai akses informasi seperti perkampungan Orang Asli,” ujarnya.

Dr. Hana menyeru orang ramai supaya tampil dan mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi melindungi diri, ahli keluarga, komuniti dan negara.

“Kerajaan menjangkakan program imunisasi yang sudah bermula ini boleh memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022,” katanya.

-NI-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda