Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Pengajaran dan Pembelajaran Bersemuka Tingkat Prestasi Kecemerlangan Pelajar

By 9 Mac 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hamisah Sumar (Johor Bahru)/SK Kompleks Uda

JOHOR BAHRU, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Para pelajar tahun tiga hingga enam Sekolah Kebangsaan Kompleks Uda telah memulakan sesi pembelajaran secara bersemuka bermula semalam, selepas menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Langkah kerajaan mengumumkan pembukaan sekolah dan melaksanakan sesi pembelajaran bersemuka secara berperingkat dapat mengatasi isu keciciran murid dari mendapat akses pendidikan serta menangani isu literasi dan numerasi.

Menurut Guru Besar SK Kompleks Uda Zulkarnail Zakaria, pembukaan semula sesi persekolahan adalah untuk mengimbangi keperluan akses pendidikan dalam keadaan selamat sambil memastikan pelajar tidak jauh ketinggalan dalam pembelajaran.

“Pembelajaran dan pengajaran secara bersemuka bertepatan kerana membabitkan pedagogi efektif di mana para pelajar mengharapkan panduan dan nasihat guru sebelum menduduki peperiksaan.

“Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang berasaskan pelajaran di rumah agak terhad jika dibandingkan dengan kaedah secara bersemuka,” katanya ketika ditemui di sekolah tersebut, di sini semalam.

Menurut Zulkarnail, prestasi para pelajar belum dapat dipastikan akan cemerlang sekiranya masih menggunakan pembelajaran secara dalam talian.

“Pengajaran dan pembelajaran di sekolah membolehkan guru meningkatkan prestasi pelajar dengan cepat dan mengekalkan momentum kefahaman kognitif pelajar pada tahap yang tinggi.

“Pembukaan semula sekolah bukan lagi dianggap sebagai satu cabaran, tetapi ia merupakan satu rahmat kerana pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran telah pun dirancang dengan teliti untuk meningkatkan kemahiran dan keberhasilan pelajar bagi memenuhi matlamat program transformasi pendidikan yang disasarkan,” ujarnya.

Zulkarnail berkata semua guru di sekolah ini telah bersedia untuk menghadapi cabaran mendidik pelajar dalam keadaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti pemakaian pelitup muka serta penjarakan fizikal.

“Saya sangat mengalu-alukan jalinan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan para pelajar mendapat manfaat ketika berada di sekolah demi mencapai keputusan yang cemerlang,” ujarnya lagi.

-NI-

Tinggalkan komen anda