Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/IPD Gombak
RAWANG, 9 Mac (Malaysiaaktif) – Polis Berjaya melumpuhkan satu sindiket ‘melombong bitcoin’ yang beroperasi di sebuah premis di Jalan Rawang Putra 1, Rawang di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata melalui maklumat yang diperolehi pihaknya menjalankan pemerhatian selama 30 minit terhadap dua lelaki yang dalam keadaan mencurigakan di hadapan premis berkenaan.
“Mereka dilihat telah memasuki premis dalam keadaan tergesa-gesa dan pasukan polis telah melakukan serbuan dan seterusnya telah menahan kedua-dua suspek semasa mereka keluar dari premis tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, pasukan polis telah berjaya menemui sejumlah Mesin Mining Bitcoin yang sedang aktif beroperasi dengan membuat penyambungan elektrik secara haram.
“Pemeriksaan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Rawang mengesahkan premis berkenaan telah mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan operasi mesin berdasarkan pintasan pada litar utama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Arifai berkata, hasil siasatan mendapati, aktiviti melombong kriptowang ini telah berjalan lebih kurang tiga bulan yang lalu.
“Setiap mesin yang beroperasi boleh mencapai keuntungan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan dan kerugian pada pihak TNB masih dalam siasatan.
Kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang dan reman telah dibenarkan selama sehari untuk untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan.
“Seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah komersil pihak polis merampas 46 unit mesin, sebuah komputer riba dan modem serta serangkai kunci,” katanya.
-NAZ