Laporan/foto: Idris Sani Saberun (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Perlawanan kelima Liga Super Malaysia 2021 di antara Sabah FC menentang Terengganu FC di Stadium Likas, hari ini (Ahad) masih tidak membenarkan kehadiran penyokong untuk datang menyaksikan perlawanan itu.
Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA) Benedict Asmat, berkata setakat ini SAFA masih menggunakan peraturan perlawanan sedia ada (tanpa penyokong) bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan pemain.
Katanya, sekiranya SAFA sudah menerima SOP terbaharu berhubung kebenaran tersebut, pihaknya akan membuat kenyataan media dalam tempoh terdekat.
“Ketika ini SAFA masih terikat dengan SOP sedia ada dengan tanpa kehadiran penonton sekaligus mematuhi arahan sedia ada yang dikeluarkan FAM.
“Pihak MFL dan FAM akan mengenakan denda sehingga RM100,000 dan pemotongan tiga mata sekiranya SAFA melanggar SOP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media apabila diminta mengulas runggutan orang ramai yang ingin ke Stadium Likas bagi menyaksikan perlawanan antara Sabah FC menentang Terengganu FC.
Benedict turut mengingatkan kepada semua yang berada dan bertugas di stadium perlu memakai pelitup muka sambil melakukan amalan penjarakan fizikal pada setiap masa.
“Individu di stadium perlu merekodkan suhu badan mereka dalam aplikasi MySejahtera, jika suhu melebihi 37.5 °C serta mempunyai gejala mereka tidak dibenarkan masuk,
“Semua pihak perlu akur dengan peraturan dan larangan ini, yang mana pihak MFL dan FAM memberikan amaran keras jika arahan ini gagal dipatuhi oleh SAFA dalam siri perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas kelak,” jelasnya.
-RI