Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

PKPB: IPD Gombak Keluarkan 127 Kompaun RM10,000

By 16 Mac 2021Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang/IPD Gombak

GOMBAK, 16 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 127 individu telah dikompaun sebanyak RM10,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata orang awam melakukan pelbagai kesalahan dalam tempoh 11 Mac hingga 14 Mac sejak kompaun dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000.

“Kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah merentas negeri tanpa kebenaran.

“Kesalahan tersebut dikesan di sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan dalam pentadbiran kami.

“Tujuan kompaun adalah memastikan masyarakat mematuhi SOP untuk membendung dan memutuskan penularan COVID-19,” katanya dalam sidang media di IPD Gombak, semalam.

Mengulas lanjut, Arifai memaklumkan dalam tempoh PKP dilaksanakan pada 13 Januari hingga 4 Mac lalu, sebanyak 678 kompaun dikeluarkan.

“Bagi tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB) dari 5 Mac hingga 10 Mac iaitu kompaun masih RM1,000, sebanyak 129 individu dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan.

“Kita masih lagi dalam tempoh PKPB dan SOP yang ditetapkan perlu dipatuhi sehingga pengumuman selanjutnya dibuat,” tegas beliau.

-NAZ

Tinggalkan komen anda