Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kuala Muda)
SUNGAI PETANI, 15 Mac (Malaysiaaktif) – Lebih 200 petugas barisan hadapan di daerah sini termasuk anggota keselamatan dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Imigresen telah menerima suntikan vaksin masing-masing semalam dan ini termasuklah kakitangan awam (bukan keselamatan) yang turut bertugas di barisan hadapan dalam membantu negara menghadapi pandemik COVID-19 yang telah melanda negara setahun yang lalu.
Menurut kakitangan Jabatan Kesihatan Bandar Sungai Petani Zatul Iffah Wahab, suntikan vaksin ini amat perlu bukan sahaja kerana tuntutan kerja yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat umum atau orang ramai malah dalam menyampaikan maklumat terbaharu mengenai situasi semasa COVID-19 melalui program-program jabatan yang dilaksanakan.
“Tiada laporan mengenai tindak balas atau kesan sampingan negatif oleh penerima vaksin sejak 24 Februari lalu membuktikan bahawa suntikan vaksin COVID-19 adalah selamat dan ini juga menjamin agar imuniti kelompok dapat diwujudkan sekali gus membantu negara pulih seperti kebiasaan.
“Pihak jabatan menyarankan supaya orang ramai tidak risau untuk menerima dos vaksin ini kerana setiap penerima yang telah berdaftar melalui Aplikasi MySejahtera atau melalui laman web COVID-19 adalah terjamin di mana mereka akan disaring terlebih dahulu untuk menilai risiko terhadap penerimaan vaksin COVID-19 ini.
“Pendaftaran suntikan vaksin fasa kedua serta ketiga telah dibuka melalui Aplikasi MySejahtera dan di laman web http//vaksincovid.gov.my atau boleh dibuat di talian 1800-8888-88 dan semua rakyat diseru agar membuat pendaftaran bagi penerimaan suntikan vaksin COVID-19 untuk kesejahteraan bersama,” katanya ketika ditemui di klinik kesihatan tersebut, di sini semalam.
Dalam pada itu, tujuh orang kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda antara kakitangan awam yang menerima suntikan vaksin dos pertama vaksin keluaran Syarikat Pfizer sebagai penghargaan kepada anggota Jabatan Penerangan yang turut serta dalam menangani situasi pandemik ini semenjak ia melanda negara ini.
~RJ~