Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari (Larut Matang dan Selama)/Mohammad Ezwandi Mohammad Radzi (Ipoh)
SELAMA, 22 Mac (Malaysiaaktif) – ‘Prihatin Rakyat: Darurat Memerangi COVID-19′ menjadi simbolik dalam mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama memerangi wabak ini.
Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Hamzah Zainudin, berkata rakyat semakin menerima dengan keadaan dan kehidupan norma baharu sehingga berjaya mencapai sifar kes.
“Keadaan ini menyebabkan kita membenarkan pergerakan rentas negeri pada ketika itu.
“Walaubagaimanapun, kes kembali meningkat pada Oktober lalu sehingga kerajaan dengan kuasa Yang di-Pertuan Agong bersetuju untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat bermula Januari hingga Ogos 2021,” katanya semasa merasmikan Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Dewan Majlis Daerah Selama, di sini baru-baru ini.
Menurut Hamzah, Proklamasi Darurat yang diumumkan adalah satu cara terbaik untuk mengatasi wabak COVID-19 daripada merebak.
“Tidak sampai dua bulan kes harian kembali menurun sejak pengisytiharan ini dibuat.
“Namun, rakyat diingatkan agar tidak merasa selesa dengan keadaan ini kerana kes boleh kembali meningkat jika kita tidak mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Saya berharap agar rakyat terus patuh kepada SOP dan sama-samalah mendaftar program vaksinasi supaya diri kita dilindungi seterusnya mencegah diri daripada dijangkiti wabak COVID-19,” katanya.
~RJ~