Laporan/foto: Tengku Saifulah Tengku Mohamed (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 22 Mac (Malaysiaaktif) – Bagi merancakkan lagi sektor ekonomi dan membantu meningkatkan operasi perniagaan, Pasar Batu Enam di sini bakal dinaik taraf untuk kemudahan serta keselesaan peniaga dan pengunjung yang semakin bertambah.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata Pasar Batu Enam yang sedia ada sekarang sudah berusia lebih 20 tahun dan kerja-kerja penyelenggaraan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi turun padang dalam pertemuan santai bersama peniaga untuk menyampaikan bantuan tunai kepada para peniaga di sekitar pasar tersebut, semalam.
“Saya berharap dengan bantuan dan peruntukan yang diberikan ini meskipun tidak besar tapi dapat membantu sedikit sebanyak para peniaga untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Seorang peniaga kedai makan di pasar tersebut, Zainuddin Embong, 60, melahirkan rasa gembira dengan cadangan pasar yang bakal diperbesar nanti.
Katanya, ini merupakan sesuatu yang perlu dilakukan kerana kapasiti peniaga dan pengunjung yang semakin bertambah saban hari.
“Sekiranya ruang pasar dinaiktaraf dan diperbesar, sedikit sebanyak ia memberi ruang kepada peniaga untuk berniaga dalam keadaan yang lebih selesa dan pengunjung tidak lagi perlu berhimpit-himpit semasa membeli terutamanya ketika hujung minggu,” katanya ketika ditemui di sini.
Seorang lagi peniaga Nor Afni Radzali, 41, meluahkan rasa syukur dan berbesar hati dengan cadangan naik taraf pasar yang menjadi tumpuan utama penduduk sekitar sejak sekian lama.
Menurutnya, kemudahan pasar yang selesa amat penting bagi komuniti di sini memandangkan pasar ini menyediakan pelbagai barang keperluan makanan harian pada satu tempat seperti bahan basah seperti sayur, ikan, daging, bahan makanan iaitu nasi, kuih-muih dan minuman serta bahan kering seperti pakaian dan lain-lain lagi.
Katanya lagi, kemudahan ini nanti bakal menguntungkan peniaga-peniaga bumiputera untuk menjana pendapatan mereka di sini setiap hari.
Turut hadir Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Nerus, Mustafa Ismail.
-ii-