Laporan/foto: Aneta Ahmad/Zulkifli Othman (Dungun)
DUNGUN, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Balai Besar Dua menyampaikan sumbangan pelitup muka dan pensanitasi tangan kepada pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah (SMKTIZ) sebagai tanda keprihatinan mereka.
Pengetua SMKTIZ, Mohd Kamari Ibrahim, 55, berkata pihak sekolah sangat gembira dan berbesar hati kerana terpilih dalam melaksanakan program tersebut.
“Pihak sekolah amat menitikberatkan semua pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan pelajar hendaklah memakai pelitup muka, menjaga penjarakkan fizikal dan pengimbas suhu juga disediakan.
Buat masa sekarang, hanya pelajar yang sedang menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berada di sekolah,” katanya ketika ditemui pemberita di sekolah tersebut, di sini kelmarin.
Wakil KRT Balai Besar Dua, Abd. Rashid Man, 65, berkata sumbangan berkenaan adalah bagi membantu meringankan beban pelajar dan sebagai sokongan kepada Pembudayaan Norma Baharu dalam kalangan pelajar dan masyarakat.
“Usaha kami sebagai tanda sokongan dan menggalakkan pemakaian pelitup muka di kalangan pelajar bersama Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Daerah Dungun dan Pejabat Penerangan Daerah Dungun di SMK Tengku Intan Zaharah.
“Walaupun sumbangan bukan dalam jumlah yang besar namun program ini dapat meningkatkan semangat kerjasama antara KRT bersama masyarakat khasnya untuk membantu pelajar dan pihak sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Perpaduan dan Integrasi Nasional Daerah Dungun Tengku Mazilawati Tengku Muhamad, 42, melahirkan rasa gembira di atas inisiatif KRT Balai Besar Dua dan Pejabat Penerangan Daerah Dungun yang mengedarkan poster dan risalah bagi usaha memasarkan maklumat berkaitan pencegahan 3C dan pengamalan 3W kepada pelajar dan kakitangan di sekolah tersebut.
“Saya harap sumbangan ini dapat membantu pelajar di sekolah ini dan penularan COVID-19 dapat diputuskan.
“Kesedaran dan peranan yang dimainkan oleh semua pihak dalam berkongsi maklumat adalah sangat bagus,” katanya.
-ii-