Laporan/foto: Mohd Saipul Nizam Ibrahim/Mazlin Basir (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 5 Mac (Malaysiaaktif) – Ketua kampung memainkan peranan penting sebagai paksi dan tunjang dalam menyalurkan maklumat serta permasalahan kawasan pentadbiran mereka kepada pihak kerajaan.
Seramai 167 orang Ketua Kampung telah melafazkan ikrar perkhidmatan dihadapan Pegawai Daerah Batu Pahat Ismail Abu sempena Program Ikrar Perlantikan Ketua Kampung Daerah Batu Pahat Sesi 2021-2022.
Menurut Ketua Kampung Semerah Darat Mukim Lubok Noor Din Sujak, 56, tugas yang diberikan merupakan tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya dan penuh dedikasi.
“Tugas yang diamanahkan akan saya galas dengan sebaiknya dan tumpuan akan diberi kepada kawasan kampung yang kekurangan infrastuktur dan pembangunan agar ia dapat dirancakkan lagi bagi memenuhi keperluan semasa kampung saya.
“Saya akan sentiasa memastikan kesejahteraan penduduk terbela dan tidak ketinggalan daripada kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Program Ikrar Perlantikan Ketua Kampung Daerah Batu Pahat Sesi 2021-2022 di Dewan Terbuka Pejabat Daerah Batu Pahat, di sini semalam.
Ketua Kampung Sri Teluk Mukim Linau, Morsidi Maat, 54, yang ditemui melahirkan rasa syukur di atas kepercayaan orang kampung sehingga beliau dilantik buat kali kedua.
“Hasrat saya ingin membawa misi kerajaan berkaitan tranformasi digital untuk penduduk kampung serta kawasan setempatnya.
“Penduduk kampung harus diberi pendedahan tentang transformasi pendigitalan seiring dengan norma baharu dan agenda meningkatkan mutu perkhidmatan internet berkelajuan tinggi di kawasan ini akan menjadi keutamaan,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Penghulu Mukim 11 Sungai Pungor Saifuddin Sabari, 37, sebagai pemimpin yang paling dekat dengan rakyat, ketua-ketua kampung memiliki peranan penting dalam membantu kerajaan untuk menjayakan apa saja agenda kerajaan demi kesejahteraan rakyat.
“Ketua kampung merupakan perantara antara rakyat dan kerajaan bagi memastikan setiap pemasalahan dan keperluan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Fokus utama adalah melibatkan pembangunan infrastruktur di dalam kawasan kampung dan mengenal pasti keperluan sewajarnya untuk pembangunan agar manfaat itu dapat dinikmati oleh setiap penduduk,” ujarnya.
-NI-