Skip to main content
Berita TimurTerengganu

Merchang Lestari Tarikan Baharu Buat Pelancong

By 30 Mac 2021Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Afnan Hakimi Ab Aziz/Norhasirah Deris (Marang)

MARANG , 30 Mac (Malaysiaaktif) – Daerah Marang menawarkan produk pelancongan baharu iaitu Merchang Lestari yang akan diperkenalkan pada tahun hadapan dengan pelbagai pakej menarik merangkumi aktiviti tradisi lama penduduk dan nelayan.

Pegawai Daerah Marang Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, berkata Pekan Marang adalah unik disebabkan terdapat pulau, sungai, pantai dan juga satu komuniti yang menghargai bahawa di sini akan menjadi satu tempat pelancongan.

“Pengunjung akan dapat merasai sendiri pengalaman sebagai nelayan atau penduduk kampung dengan melakukan aktiviti seperti menangkap ketam nipah menggunakan bito atau bubu, mencari lokan, menyadat air tuak (nira), dan proses membuat atap daun nipah.

Program Gotong-royong dirasmikan oleh Sulaiman Sulong, ADUN Pengkalan Berangan.

Program Gotong-royong dirasmikan oleh Sulaiman Sulong, ADUN Pengkalan Berangan.

“Kita telah perkenalkan sedikit demi sedikit produk yang akan dilancarkan sepenuhnya pada tahun ini dan erjasama dengan pelbagai pihak terus giat dijalankan bagi mempromosikan produk pelancongan ini,” katanya ketika ditemui semasa Pelancaran Program Gotong Royong Perdana sempena Hari Air Sedunia di Pantai Merchang Angin Berbisik, di sini baru-baru ini.

Tambah beliau, segala kemudahan infrastruktur akan ditambah baik dari semasa ke semasa untuk memberi keselesaan kepada para pelancong pada masa akan datang.

“Sebelum ini aktiviti pelancongan di Daerah Marang lebih tertumpu kepada Pulau Kapas dan Dataran Batu Putih, walau bagaimanapun, Mechang Lestari juga akan pasti menjadi tarikan dan destinasi popular dengan adanya Pantai Angin Berbisik.

Mesin Jengkaut sedang membersihkan sungai.

Mesin Jengkaut sedang membersihkan sungai.

“Menelusuri keindahan Sungai Merchang yang kaya dengan flora dan fauna menjanjikan pengalaman yang baharu kepada pengunjung yang sukakan pemandangan dan suasana yang tenang manakala pengunjung yang ingin menikmati keindahan Pantai Angin Berbisik boleh menggunakan khidmat sewaan berkayak,” ujarnya.

Beliau berkata kewujudan produk pelancongan ini sedikit sebanyak dapat menambah pendapatan kepada komuniti tempatan dan juga para nelayan dari segi penyediaan khidmat sewaan bot kepada pelancong untuk menerokai keindahan Sungai Merchang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan Sulaiman Sulong, berkata penjenamaan Merchang Lestari diperkenalkan bagi merealisasikan hasrat menjadikan kawasan ini sebagai lokasi pelancongan baharu dan terkenal di seluruh pelusuk negara.

Gotong royong sedang berlangsung.

Gotong royong sedang berlangsung.

“Komuniti tempatan perlu terapkan nilai kesedaran dalam diri untuk menjaga dan memulihara keindahan kawasan produk pelancongan baharu yang diperkenalkan ini.

“Aktiviti yang berlangsung hari ini adalah mengutip sampah sarap bermula dari muara sungai hingga ke pesisir pantai, membaiki atap nipah pondok-pondok sedia ada dan membersihkan sampah di dalam sungai dengan menggunakan mesin jengkaut,” katanya.

-ii-

Tinggalkan komen anda