Laporan/foto: Noor Suraya Zainal (Daerah Timur Laut)
GEORGETOWN, 30 Mac (Malaysiaaktif) – Kerjasama antara Skuad Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Timur Laut (DTL) merealisasikan aktiviti pendidikan pencegahan serta kesedaran awam mengenai bahaya dadah.
Ketua Pegawai AADK Daerah Timur Laut Lalithawathy Kunaseelan, berkata kerjasama itu memberi penekanan lokasi panas penagihan yang sudah dikenal pasti sebagai Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di sekitar Timur Laut.
“Program@Konvoi Prihatin menyasarkan orang awam terutamanya di sekitar Daerah Timur Laut bagi merealisasikan sasaran penurunan jumlah penagihan dadah.
“Program ini mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi kerajaan di samping badan bukan kerajaan serta masyarakat sekeliling yang telah peka dalam hal sebegini supaya maklumat berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah di lokasi KBT dapat ditangani bersama,” katanya ketika ditemui dalam Program@Konvoi Prihatin di sekitar bandar sini, di sini semalam.
Lalithawathy berkata ekspidisi Konvoi Prihatin ini dilaksanakan dengan jayanya di setiap kawasan ataupun hentian dibuat dengan edaran risalah berkaitan bahayanya dadah kepada masyarakat setempat dengan harapan supaya masyarakat lebih peka dalam situasi kawasan tersebut.
“Selain itu, hebahan daripada JaPen juga dibuat dalam Bahasa Melayu, Cina serta Tamil supaya semua golongan masyarakat setempat memahami peranan AADK serta perkhidmatan yang disediakan.
“Di samping itu, peranan komuniti juga amat penting didalam mendidik dan menanam kesedaran berhubung bahayanya penyalahgunaan dadah supaya ia dapat ditangani secara berasingan agar komitmen semua pihak untuk melahirkan generasi terdidik dan bebas dadah.
“AADK memegang amanah dalam merawat pulih dan menanam kesedaran dan meningkatkan kepekaan masyarakat seluruhnya tentang isu dadah tersebut serta dalam memastikan wawasan kemakmuran bersama dapat dicapai dengan merealisasikan matlamat Dasar Dadah Negara,” katanya.
-ii-