Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Walaupun sering dikhabarkan dengan pelbagai berita negatif, peniaga buah-buahan di Pasar Besar Kota Kinabalu, Masliah Ampuroh, 52, berpendapat tiada alasan untuk seseorang tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
“Saya berterima kasih kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Api-Api Oliver Majaham, dan juga Jabatan Penerangan Sabah kerana membantu saya mendaftar sebagai menerima vaksin dalam aplikasi Mysejahtera.
“Dengan pendekatan ini, saya yakin akan lebih ramai masyarakat berpeluang mendaftar sebagai penerima vaksin,” katanya.
Sementara itu, peniaga sayur, Banong Othman, 54, menganggap pendaftaran vaksin bagaikan sinar harapan bagi golongan berusia dan berisiko seperti dirinya.
“Sudah tentu saya akan mengambil vaksin itu nanti kerana saya berusia dan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus COVID-19.
“Pogram ini merupakan sinar harapan kepada saya yang mengharapkan penularan jangkitan ini dapat dikawal apabila semua sudah menerima vaksin nanti.
“Secara tidak langsung dapat membantu merancakkan lagi ekonomi dalam negara dan kelangsungan operasi perniagaan tempatan,” ujarnya ketika ditemui di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini hari ini.
-RI