Laporan/foto: Mohd Azwan Mohamad/Merusin Minuddin (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Permohonan peruntukan pembaikan Masjid Nur Islam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan diperhalusi.
Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan meneliti permohonan pembaikan menyeluruh masjid tersebut untuk memantapkan lagi syiar Islam di negeri ini.
“Kita akan memperhalusi permohonan ini dan berbincang dengan kepimpinan tertinggi negeri berkaitan semua aspek termasuk kos pembaikan yang dianggarkan berjumlah lebih RM1 juta.
“Usaha ini penting bagi memastikan syiar Islam terus berkembang kerana Masjid Nur Islam menjadi tumpuan para tetamu kenamaan dan agensi-agensi kerajaan terutama pada waktu Solat Jumaat.
“Kita difahamkan, masjid ini tidak pernah diselenggara hampir 30 tahun menyebabkan banyak kerosakan seperti kebocoran atap khususnya di ruang utama, kerangka atap yang reput serta struktur luar dan dalam bangunan yang tidak selamat,” jelas beliau selepas melawat tapak masjid berkenaan, di sini kelmarin.
Mengenai lawatan kerja rasminya kepada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, di sini Arifin memaklumkan ia bagi menjalinkan kerjasama dalam bidang dakwah khususnya menerusi Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA) Polis Sabah.
“Polis merupakan salah satu agensi yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dakwah Islam di Sabah.
“Menjadi tanggungjawab mereka (Polis) untuk memastikan keamanan dalam negeri terkawal supaya masyarakat dapat hidup dalam harmoni,” katanya.
Hadir sama Setiausaha Tetap Menteri Tugas-Tugas Khas Sapdin Ibrahim, Pengarah JAKIM Sabah Norjeli Dais dan Timbalan Pengarah Hal Ehwal Islam JHEAINS Mohamad Sidik Awang Adi.
-RI