Foto: Infografik KKM
PUTRAJAYA, 2 April (Malaysiaaktif) – Sebanyak 1,178 kes baharu COVID-19 dan enam kematian dilaporkan di Malaysia semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata bilangan kes sembuh pula ialah 1,377 menjadikan kumulatif kes sembuh dalam negara kini berjumlah 331,001 kes.
“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 1,158 adalah penularan tempatan manakala 20 lagi kes import.
“Seramai 163 individu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 81 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19, semalam.
Beliau berkata negeri yang mencatat kes paling tinggi ialah Sarawak dengan 238 kes diikuti Selangor (237); Pulau Pinang (190); Johor (165); Kuala Lumpur (101); Sabah (86); Negeri Sembilan (34); Kedah (32); Perak (31); Kelantan (27); Pahang (14); Melaka (9); Labuan (7); Terengganu (6); dan Putrajaya (1); manakala tiada kes baharu di Perlis.
Sementara itu, enam kluster baharu dikesan membabitkan lima kluster tempat kerja iaitu di Selangor (Kluster Bukit Serdang dan Kluster Jalan Sungai Ramal); Johor (Kluster Jalan Permas Cetak dan Kluster Kait Gading); dan Pulau Pinang (Jalan Teluk Kumbar); serta satu kluster komuniti di Pahang iaitu Kluster Taman Emas.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,016 kluster tamat setakat ini termasuk 14 kluster yang tamat semalam.
— BERNAMA