Laporan/foto: Bustan Made Aming/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)
BELURAN, 1 April (Malaysiaaktif) – Tujuh ribu pelajar sekolah rendah menerima sumbangan kelengkapan sekolah secara berperingkat mulai Januari lalu
Menurut Menteri Pertanian Industri dan Makanan Datuk Ronald Kiandee, jumlah itu melibatkan pelajar dari 60 buah sekolah rendah yang terpilih melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).
“Sumbangan kelengkapan sekolah seperti beg sekolah, buku dan alat tulis kepada 7,000 pelajar dari 60 sekolah rendah diberi secara berperingkat di mana sasaran bagi program CSR ini ialah pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah.
“NAFAS sentiasa prihatin dan mengambil berat dalam meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika persediaan anak-anak ke sekolah dan semoga segala usaha ini mampu membantu dan membela nasib pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan serta menceriakan mereka ketika sesi persekolahan,” ujarnya ketika merasmikan Program Back to School Peringkat Daerah Beluran, di sini kelmarin.
Selain bantuan persekolahan, beliau turut menyampaikan 13 enjin sangkut sumbangan NAFAS kepada masyarakat setempat yang memerlukan.
Hadir sama, Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Sabah Abdul Razak Said, Pengarah Kumpulan Pebangunan Peladang NAFAS Abu Sujak Sahuji dan Pegawai Pendidikan Daerah Shariff Mahada.
-RI