Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Cuepacs Mohon Bantuan Khas Aidilfitri untuk Penjawat Awam, Pesara

By 22 April 2021Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

PUTRAJAYA, 22 April (Malaysiaaktif) – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan memberikan bantuan khas kewangan  kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presidennya Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada 2012 dan selepas tahun tersebut penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja,” katanya.

Adnan berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar dipertimbangkan perkara itu.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan bantuan serupa kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya turut meminta semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Ini memandangkan kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri, tegasnya.

— BERNAMA

 

Tinggalkan komen anda