Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor/Shaik Mohd Fikri Shaik Ismail (Setiu)
SETIU, 22 April (Malaysiaaktif)– Walaupun dunia hari ini menempuhi revolusi perkembangan teknologi yang amat pesat khususnya dalam bidang teknologi maklumat, ia merupakan manfaat bagi generasi Y dan Z untuk meneruskan generasi membaca.
Ahli Parlimen Setiu Shaharizukirnain Abd Kadir, berkata amalan membaca perlu dipupuk setiap masa bukan hanya sekadar untuk menghadapi peperiksaan semata-mata kerana ilmu itu luas dan perlu dituntut sepanjang hayat.
“Pelbagai ilmu bahan bacaan kini lebih mudah diperolehi melalui gajet-gajet hasil limpahan kemajuan bidang teknologi maklumat berbanding generasi terdahulu yang mendapat manfaat ilmu melalui bahan bacaan tradisional seperti buku dan surat khabar.
“Dengan pelbagai kaedah melalui gajet dan internet adalah mustahil bagi generasi hari ini untuk tidak minat membaca kerana pelbagai maklumat masa kini hanya berada di hujung jari sahaja,” katanya ketika merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 Minit Peringkat Daerah Setiu di Perpustakaan Awam Daerah Setiu, di sini pagi tadi.
Menurut Shaharizukirnain, tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk meneruskan kelestarian budaya membaca dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan berhenti selama 10 minit sahaja untuk membaca sebarang bahan bacaan.
“Walaupun zaman sekarang bahan bacaan seperti buku semakin berkurangan, namun ia bukan penghalang untuk kita kurang minat untuk membaca kerana bahan bacaan seperti surat khabar mahupun bahan ilmiah yang lain kini boleh di dapati melalui dalam talian mahupun gajet,” katanya.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri Zul Bhari A Rahman, Penolong Pustakawan Daerah Setiu Muhammad Azran Yusoff serta wakil-wakil jabatan persekutuan dan negeri.
-ii-